Tenaga
boleh dijumpai dalam pelbagai bentuk. Tenaga amat berguna bagi manusia. Tanpa
tenaga manusia sukar untuk melakukan aktiviti seharian. Pelbagai acara dan
aktiviti melibatkan penggunaan tenaga, seperti kereta mainan yang menggunakan
kuasa bateri, gelang getah yang ditarik tegang, lilin yang menyala, telefon
yang berdering dan banyak lagi. Antara jenis-jenis tenaga yang wujud sekeliling
kita adalah tenaga keupayaan, tenaga kinetik, tenaga haba, tenaga bunyi, tenaga
kimia, tenaga elektrik dan tenaga cahaya.
Tenaga yang wujud dibekalkan oleh
satu sumber yang tertentu. Pelbagai sumber tenaga yang boleh kita perolehi
disekeliling kita. Sumber-sumber tenaga boleh dikelaskan kepada dua jenis iaitu
sumber tenaga yang boleh diperbaharui
dan sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui. Sumber – sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui bermakna ia tidak
boleh diganti dalam jangka masa yang singkat. Sebaliknya, sumber – sumber
tenaga yang boleh diperbaharui seperti solar dan angin boleh diganti secara
semula jadi dalam jangka masa yang singkat.
Tenaga
yang boleh diperbaharui adalah tenaga yang boleh diganti secara semula jadi
dalam jangka masa yang singkat. Sumber tenaga ini akan kekal selamanya walaupun
kita terus menggunakannya. Antara contoh tenaga yang boleh diperbaharui adalah
tenaga suria atau solar, tenaga angin, tenaga air atau hidro dan bahan bakar
biojisim atau biomass. Kebanyakan sumber tenaga ini digunakan bagi menjana arus
elektrik yang dibekalkan keseluruh negara. Tenaga yang boleh diperbaharui juga
lebih selamat, mesra alam sekitar dan tidak menghasilkan gas-gas rumah hijau.
Walaupun
tenaga yang boleh diperbaharui dikatakan lebih selamat, mesra alam dan bebas
pencemaran, penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui adalah lebih terhad
kepada kawasan-kawasan yang tertentu sahaja dan penggunaannya tidak dapat dilakukan
secara meluas. Pembinaan kawasan janakuasa juga boleh menjejaskan lanskap dan
berkemungkinan akan merosakkan habitat asal kawasan tersebut.
Tenaga
yang tidak boleh diperbaharui pula merupakan tenaga yang tidak boleh diganti
dalam masa yang singkat setelah digunakan. Terdapat tiga sumber tenaga yang
tidak boleh diperbaharui iaitu minyak dan hasil petroleum, gas asli dan arang
batu. Sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui terhasil dari tanah adalah
cecair, gas dan pepejal. Minyak mentah adalah satu – satunya bahan bakar
yang tidak boleh diperbaharui yang komersial yang terdapat dalam bentuk cecair. Gas
asli dan propana selalunya gas dan arang batu adalah pepejal. Arang
batu, petroleum dan gas asli adalah sejenis bahan bakar fosil kerana terbentuk
daripada tumbuhan dan haiwan yang tertanam berjuta-juta tahun yang lalu.
Minyak
terbentuk daripada pereputan haiwan dan tumbuhan yang hidup berjuta – juta
tahun yang lalu yang tinggal di dalam persekitaran air sebelum dinosaur. Lebih
daripada berjuta – juta tahun, reputan haiwan – haiwan dan tumbuhan – tumbuhan
ini ditutupi dengan lapisan pasir dan kelodak. Haba dan tekanan daripada
lapisan – lapisan ini membantu ia berubah bentuk kepada minyak mentah.
Perkataan ‘petroleum’ bermakna ‘minyak batuan’ atau ‘minyak dari Bumi’. Minyak mentah adalah berbau, berwarna
kekuningan ke hitam dan ia selalunya dijumpai di dalam tanah di satu kawasan
yang dipanggil takungan. Para saintis dan jurutera mengkaji kawasan yang
dipilih mengenai sample batuan dari Bumi. Apabila pengiraan telah dibuat, dan
kawasan tersebut dikatakan mempunyai minyak, aktiviti mengorek akan dimulakan.
Di atas lubang, satu struktur yang dikenali sebagai ‘derrick’ akan
dibina untuk menempatkan peralatan dan paip – paip yang yang menuju ke takungan
minyak. Apabila selesai, takungan minyak di mana minyaknya akan disalurkan ke
permukaan.
Kegunaan sumber tenaga yang tidak
boleh diperbaharui banyak tertumpu kepada penjanaan elektrik, bahan api
kenderaan dan barang-barang komersial seperti plastik. Sinonim dengan nama
bahan bakar fosil, penggunaan sumber ini lebih tertumpu kepada bahan bakar dan
penggunaan amat meluas pada abad ini.
Hasil daripada minyak mentah petroleum
membantu kita dalam banyak perkara. Kita gunakan hasil petroleum sebagai bahan
bakar kapal terbang, kereta, dan lori, dan juga menghasilkan ubat – ubatan dan
produk – produk plastik. Walaubagaimanapun, penggunaan hasil petroleum boleh
mengancam alam sekitar seperti pencemaran udara dan air. Pengeluaran dan kesan
sampingan terhasil daripada pembakaran produk-produk petroleum menghasilkan
pengeluaran seperti karbon dioksida, karbon monoksida, sulfur dioksida dan nitrogen
oksida. Karbon dioksida merupakan gas rumah hijau dan sumber kepada pemanasan
global. Sulfur dioksida pula adalah sumber kepada hujan asid yang mana akan
mengancam tumbuhan dan haiwan yang tinggal didalam air dan memudaratkan
penyakit respiratori dan jantung khususnya untuk kanak-kanak dan warga emas.
Nitrogen oksida pula menyumbang kepada kemusnahan lapisan ozon dan akan
menyebakan penyakit radang paru-paru.
Semua kita menggunakan tenaga setiap
hari untuk menggerakkan pengangkutan, memasak, memanas dan menyejuk bilik,
pembuatan, pencahayaan dan hiburan. Pilihan terletak di tangan kita bagaimana
kita menggunakan tenaga seperti mematikan mesin apabila tidak menggunakannya
atau memilih untuk membeli peralatan yang efisien penggunaan tenaganya.
Pemilihan cara penggunaan memberi kesan kepada alam sekitar dan cara hidup
kita. Dengan penggunaan tenaga yang jimat membantu menyelamatkan sumber -
sumber tenaga semula jadi seperti gas asli, minyak dan air dan juga membantu
mengurangkan bil utiliti.
Sesetengah tenaga yang kita gunakan
dalam kehidupan seharian adalah tenaga yang boleh diperbaharui. Tetapi banyak
bentuk tenaga yang kita gunakan dirumah mahupun dijalan raya adalah tidak boleh
diganti. Bahan bakar fosil mengambil masa berjuta - juta tahun untuk dibentuk.
Sumber - sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui ini mempunyai had yang
tertentu dan tidak boleh diganti atau dijana semula. Apabila kehabisan sumber,
ia tidak lagi boleh digunakan. Oleh itu, kita perlu bertindak memainkan peranan
yang sebaik mungkin untuk menjimatkan tenaga. Istilah pemuliharaan tenaga dan kecekapan (efisien)
tenagaadalah dua istilah yang sangat berbeza tapi berkait. Terdapat
banyak perkara yang kita boleh lakukan untuk mengurangkan penggunaan tenaga (pemuliharaan) dan menggunakan tenaga
dengan bijak (efisien).
Antara langkah-langkah dalam
menggalakkan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui adalah dengan
menjalankan promosi terhadap penggunaan tenaga tersebut. Seperti yang boleh
kita lihat dinegara jiran, Thailand walaupun dalam keadaan politik yang tidak
stabil, begitu pesat membangunkan industri solar mereka. Semua negara ini
mempunyai matlamat mencari sumber tenaga alternatif yang lebih lestari, selain
daripada petrol. Malaysia cukup bertuah dengan keadaan geografi yang terletak
digarisan khatulistiwa yang mana memberi kelebihan cahaya matahari dan air yang
besar. Penggunaan tenaga solar digunakan bagi membekalkan tenaga elektrik kekawasan
pendalaman dan tenaga air seperti di tasik kenyir boleh kita antara penyumbang
sumber tenaga elektrik terbesar dinegara kita. Kerajaan memberikan impak yang
besar dalam menggalakkan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui bagi
menggantikan bahan bakar fosil. Terdapat sesetengah pendapat yang menyatakan
bahawa harga pengaplikasian sistem solar adalah lebih tinggi, namun penggunaan
kuasa solar untuk bangunan-bangunan ini akan menyebabkan berlakunya penurunan
terhadap permintaan tenaga elektrik yang dijana melalui sumber bakar asli.
Jadi, secara tidak langsung, ia memberi keseimbangan ekonomi negara pada masa
hadapan. Peluang-peluang industri kecil di dalam bidang ini juga akan
berkembang sekali gus meningkatkan pasaran kerja yang lebih banyak. Selain itu,
bangunan-bangunan pentadbiran awam dan sekolah-sekolah di seluruh pelosok
negara, sepatutnya sudah mula menggunakan sistem solar. Ini secara tidak
langsung memperkenalkan industri solar dengan kadar lebih luas.
Kempen-kempen kesedaran juga boleh
dilakukan bagi menggalakkan lagi penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui.
Seperti kempen yang dijalankan oleh Sustainable Energy Development Authority
Malaysia (SEDA) dengan menaikan tarif penggunaan elektrik supaya penggunaan
tenaga boleh dijimatkan dan seterusnya dapat menjuruskan kearah penggunaan
tenaga yang boleh diperbaharui. Kempen-kempen kesedaran ini membantu
menyedarkan orang ramai tentang kepentingan mengurangkkan penggunaan tenaga
bahan bakar fosil seterusnya menggalak kearah penggunaan tenaga yang boleh
diperbaharui.
Kajian-kajian terhadap sumber-sumber
tenaga yang boleh diperbaharui dilakukan secara meluas bagi mengenal pasti
potensi sesetengah negara dalam sumber-sumber tenaga yang tertentu. Antara
usaha yang telah dilakukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam
membantu usaha kajian dilakukan seperti keperluan-keperluan pakar-pakar dan
sumber. Usaha ini merupakan satu langkah bagi mengurangkan penggunaan bahan
bakar fosil dan juga mengurangkan masalah pemanasan global seperti dinyatakan
oleh Fong Weng Lian (2011). Antara yang patut dilakukan adalah mula mengorak
langkah terhadap pemasaran hasil penyelidikan di dalam bidang ini dengan skala
yang besar. Hasilan penyelidikan bahan bakar bio sepatutnya telah mula
dikomersialkan bagi penggunaan pengangkutan awam. Ini akan mengurangkan kadar
permintaan terhadap bahan bakar asli petrol. Permintaan seharusnya dihalakan
kepada bahan bakar bio, yang akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada
rakyat dan menjana pertumbuhan ekonomi baru. Pelan tindakan ini
sekurang-kurangnya mampu memberi peluang kepada rakyat Malaysia merasai
kelebihan bahan bakar bio, di samping terus menggunakan petrol sedia ada. Bagi
masa hadapan, potensi memasarkan bahan bakar bio ini akan lebih mudah diterima.
Selain itu, kelebihan industri kelapa sawit yang meluas di negara ini dapat
memberikan impak menerusi bahan bakar bio. Kelebihan ini perlu dipergunakan
sebaik mungkin dan usaha yang giat sepatutnya diperluaskan.
Penyelidikan-penyelidikan berskala besar perlu diperuntukkan untuk sektor ini
dan hasil penyelidikan sepatutnya telah mula dikomersialkan bagi penggunaan
semua. Ramai berpendapat, penghasilan tenaga alternatif lebih tinggi daripada
petrol. Namun hakikatnya, adakah kita mempunyai pelan perancangan jangka
panjang jika sesuatu berlaku kepada sumber asli ini? Apakah yang akan berlaku
sekiranya kita terlampau bergantung terhadap satu sumber yang tidak lestari?
Kesimpulannya, melalui pelan
tindakan dan pelaksanaan strategi yang betul, usaha-usaha memantapkan bidang
tenaga yang diperbaharui ini boleh dipasarkan secara meluas. Semestinya, semua
rakyat Malaysia mengimpikan kemajuan dan pembangunan negara yang stabil dalam
suasana yang harmoni. Realitinya, untuk mencapai objektif ini, kita memerlukan
pasaran tenaga dari sumber yang stabil. Melalui kapasiti tenaga yang stabil, ia
akan membentuk pembangunan negara yang produktif dan berterusan.
RUJUKAN
Anny Lim
Kiat Lian (2010), Isu - Isu Sumber
Tenaga, http://geog2stpm.blogspot.com/2010/02/isu-isu-sumber-tenaga.html
diakses pada 17 september 2012
Foon Weng
Lian (2011), Tenaga Boleh Diperbaharui Sebagai Tenaga Utama Pada Masa Depan, http://www.konsumerkini.net.my/v1/index.php/berita-terkini/alam-sekitar/726-tenaga-boleh-diperbaharui-sebagai-tenaga-utama-masa-depan-
diakses pada 17 september 2012
SEDA
(2012), Kutipan Tambahatan 1 % Kekal, http://seda.gov.my/go-home.php?omaneg=00010100000001010101000100001000000000000000000000&y=45&s=833
diakses pada 17 september 2012.
0 kutukan:
Post a Comment